Tuesday, May 24, 2011

dilema pengurus manchester united


MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Alex Ferguson berada dalam dilema menjelang aksi final Liga Juara-Juara menentang Barcelona di Stadium Wembley, Ahad ini.

Ketika ini, Ferguson sukar untuk membuat keputusan dalam menentukan pemain mana yang bakal diturunkan pada aksi penting itu.

United menutup saingan Liga Perdana England musim ini dengan kemenangan 4-2 ke atas Blackpool di Old Trafford awal pagi semalam sekali gus menyebabkan lawan mereka itu tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan.

Kemenangan tersebut membolehkan United menamatkan saingan dengan sembilan mata melebihi pasukan di tangga kedua yang juga juara musim lalu, Chelsea.

Ia telah menjadikannya margin terbesar sejak pasukan itu menamatkan saingan dengan 10 mata mengatasi Arsenal pada musim 2000/01.

Pada aksi menentang Blackpool itu, Ferguson telah melakukan sembilan perubahan pada kesebelasan utamanya berbanding ketika bertemu Blackburn minggu lalu.

Lantas ia membuatkan Ferguson pening kepala memilih kesebelasan terbaik untuk menundukkan Barcelona.

“Saya rasa saya mampu untuk memilik empat atau lima set kesebelasan utama untuk bertemu Barcelona nanti dan saya yakin mereka tidak akan menghampakan,” kata Ferguson.

Edwin van der Sar, Patrice Evra, Nemanja Vidic, Darren Fletcher dan Park Ji-Sung kesemuanya turun pada aksi menentang Blackpool itu dan mereka dijangka akan menjadi nadi utama United bagi menghadapi Barcelona.

Rio Ferdinand, Wayne Rooney dan Antonio Valencia yang diletakkkan di bangku simpanan pada aksi terakhir itu turut dijangka akan berada dalam kesebelasan utama awal pagi Ahad ini.

“Para pemain telah menampilkan aksi terbaik dan mereka layak untuk bergelar juara. Sasaran kami adalah untuk melakukan yang terbaik.

“Memang terdapat juga persembahan mengecewakan apabila kami beraksi di tempat lawan tetapi setiap kali aksi di laman sendiri, kami akan tampil dengan baik sekali,” jelas Ferguson. – AFP

sumber : kosmo online

No comments:

Post a Comment